23 November 2015

Jauhkan diri dari sifat mementingkan diri sendiri yakni sifat 'keakuan'

share dari link fb ~ Raudhatul Muhibbin

Sifat Keakuan Diri; "Didalam agama kita, adalah suatu yang tercela. Apabila kita memandang mana-mana makhluk Allah سبحانه وتعالى, dengan pandangan yang rendah. Pandangan yang hina. Ianya adalah suatu yang tercela. Sepatutnya kita melihat kepada diri kita. Kita yang merendahkan diri kita. Sifat merendah diri adalah sifat orang-orang soleh."

"Agama ini adalah agama yang beradab kepada Allah سبحانه وتعالى, maka janganlah kamu merasa takabbur. Janganlah kamu merasa lebih baik, lebih besar daripada makhluk yang lain hatta seekor anjing kurap sekalipon."

"Kamu tidak akan mencapai hakikat tasawuf itu sendiri, jika kamu masih melihat diri kamu lebih baik daripada orang lain. Hakikat diri kamu sendiri adalah fana, binasa, perish. Dalam diri kamu itu tiada apa apa. Allah سبحانه وتعالى yang menciptakan kamu. Yang ada, hanyalah Allah سبحانه وتعالى."

"Antara kriteria yang ada pada mereka yang merasa keakuan diri mereka adalah yang suka merasa diri mereka lebih baik daripada orang lain. Sifat ananiyah. Sifat keakuan diri. Mereka merasa megah dengan kealiman yang ada pada diri mereka, berasa diri mereka lebih hebat daripada manusia yang lain."

"Ada yang mengatakan meraka ini ahli neraka. Mereka ini ahli maksiat. Mereka ini masuk neraka. Sedangkan kamu tidak tahu kesudahan hidup kamu. Samaada husnul atau suul khatimah. Adakah kamu dapat mengetahui kesudahan hidup kamu? Adakah kamu mengetahui apa yang termaktub didalam luh mahfuz? Sudah tentu tidak."

"Didalam Al-Quran Allah سبحانه وتعالى mengatakan; "Dan Allah lah yang sentiasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kejalan yang lurus." Kita sendiri tidak tahu kesudahan hidup kita. Dan jika pada diri orang lain ada sembilan puluh sembilan kejahatan tetapi ada satu sahaja kebaikan pada dirinya, mari kita tengok satu kebaikan pada dirinya itu."

"Lupakan sembilan puluh sembilan kejahatan yang ada padanya, maka kita akan bersangka baik dengan manusia lain. Imam Al-Ghazali mengatakan; "Jika aku melihat seorang pemaksiat, aku masih lagi bersangka baik kepadanya. Boleh jadi akhir hayatnya, dia bertaubat kepada Allah سبحانه وتعالى. Dan Allah سبحانه وتعالى, mengampunkan segala dosa-dosanya. Taubat yang dilakukan kerana berdosa itu cukuplah hanya sekali, akan tetapi taubat kerana ketaatan itu perlukan dengan seribu kali taubat."

"Sifat ananiyah perlu dirawat. Mereka didalam angan-angan. Aku yang soleh, aku yang baik, aku yang alim, aku yang buat semua ini. Semua aku, aku. Semuanya adalah berpunca dari segala sifat keakuan diri sendiri iaitu dipanggil sebagai hawa nafsu didalam diri manusia. Tidak akan masuk syurga orang yang ada sifat takabur didalam dirinya walau sebesar zarah sekalipon. Jadi, mari kita lihat diri kita sendiri."

"'Ulama Tarbiyyah mengatakan tanda kejahilan dan kebodohan seseorang itu dengan sebenar-benar kebodohan, apabila dia memandang dirinya lebih baik daripada orang lain dan dia merasa sombong dan dia mempercayai apa yang diperkatakan kepada dirinya daripada orang lain."

"Dan dia meninggalkan apa yang telah menjadi keyakinanan pada dirinya. Dia tahu kalau orang mengatakan apakah yang dilakukan dibelakang tabir, sudah tentu orang akan ludah kepada mukanya, orang tidak akan mendengar perkataannya.
Tapi dalam pada itu, dia mempercayai orang lain kata dia bagus, dia soleh, dia ni baik dan sebagainya."

"Sehingga pandangan dan alam dan pemikirannya percaya kepada apa yang diperkatakan orang dan meninggalkan apa yang telah menjadi keyakinan dia sendiri tahu mengenai dirinya sendiri. Maka terhadap pujian yang diberikan daripada orang lain, Kita nak ada adab daripada hati kita."

"Yang pertama, Ya Allah aku tau aku tidak layak untuk pujian ini. Yang kedua, kita aminkan. Ya Allah, diatas sangkaan baik orang lain terhadap aku. Ya Allah Kau realisasikanlah ini, Kau sempurnakan diatas sangkaan baik manusia lain ke atas diri aku. Diatas sangkaan baik mereka kepadaku terhadap kemulian telah Engkau berikan. Semoga ia benar-benar ada pada diri aku. Kita berdoa."

"Allah سبحانه وتعالى kurniakan kita dua mata. Satu mata untuk melihat kebaikan orang lain, dan satu mata lagi untuk melihat keburukan diri kita sendiri. Dan semua orang mengetahui bahawa masing-masing ada keaiban diri, masing-masing ada zaman kegelapan yang orang lain tidak tahu."

"Akan Tetapi Allah سبحانه وتعالى masih tutup lagi keaiban itu, kegelapan itu daripada mata orang lain, daripada pengetahuan orang lain. Jika kamu memahami perkara tersebut, bagaimana kamu boleh bersangka buruk kepada orang lain?"

"Bagaimana Kamu boleh menganggap diri kamu lebih baik dari orang lain? Sedangkan kamu juga mempunyai aib. Maha suci Allah yang menutup aib manusia. Mana mungkin kamu melihat akan sedemikian, kamu juga mempunyai aib seperti mereka. Orang lain juga bukan Nabi. Mereka juga bukan Rasul, bukan Malaikat."

Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

blog saya satu lagi boleh dilawati :  http://jasminshahab205.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment